-->

SALAM SAHABAT...

Renungan bersama agar kita boleh menambahkan keimanan dan ketaqwaan menjadi muslim yang sejati. Sampaikanlah dakwahmu walaupun satu ayat.



Wednesday, 8 June 2011

BERSIHKAN JIWA... SUCIKAN HATI...

HATI ITU UMPAMA KERAJAAN DI DALAM TUBUH...
ANDAI ROSAKLAH HATI... MAKA ROSAKLAH SEMUANYA...
RENUNGKAN...

Masa sekolah dulu... aku sering menasyidkan lagu ini bersama kawan-kawan pada 'Hari Kecemerlangan Pelajar'... masih terbayang nostalgia itu, namun aku kurang faham maksud bait kata-katanya. Sehingga baru-baru ini... aku menasyidkannya semula bersama rakan-rakan sejawat semasa 'Hari Guru'... kali ini hatiku begitu tersentuh dengan lirik kata-katanya...


HATI YANG BERSIH FIRASATNYA
TEPAT KEHENDAK ALLAH...
TAPI HATI YANG KOTOR
BISIKANNYA BUKAN LAGI
KEBENARAN...
 LAGU "MATA HATI" nyanyian HIJJAZ...

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih...

Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran...

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia...

BERHATI-HATILAH MENJAGA HATI...

Tidak mengapa jika kita selalu menangis kerana dosa...
tetapi jangan sampai kita tersenyum kerananya...

Kita sering tertipu dengan nafsu... kerana apa? Kerana nafsu kita tidak dikawal oleh hati yang suci...

Kejahatan... kesalahan... bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya akan membuatkan diri rasa gelisah... merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, apabila manusia berdosa dia bukan sahaja menentang Allah tetapi menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan... tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dizalimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk maju setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dasyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadikan si berdosa itu pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat... pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Justeru... berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan, Ingat... tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri... biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terlentur daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat daripada tertipu oleh 'nikmatnya' yang menyebabkan seksa selamanya di akhirat.

Ingatlah... sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. BERHATI-HATILAH MENJAGA HATI... TIDAK MENGAPA JIKA KAU SELALU MENANGIS KERANA DOSA... TETAPI JANGAN SAMPAI KAU TERSENYUM KERANANYA! Ingatlah selalu... kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur di hatimu!

Ketahuilah wahai sahabatku... bahawasanya sebaik-baik hati adalah hati yang sentiasa dikasihi Allah, hati yang suci murni dari segala macam kebatilan dan keraguan, bersih dari segala aneka rupa kejahatan, hati yang sentiasa tunduk kepada yang hak dan petunjuk yang diliputi oleh kebajikan dan kebaikan. Nilailah hati kita... di mana letaknya...
  1. Hati yang tidak berselaput dengan syak wasangka, padanya terdapat sebuah lampu yang menerangi. Itulah hati seorang mukmin.
  2. Hati yang hitam tidak menentu tempatnya. Itulah hati seorang kafir.
  3. Hati yang terbelenggu di atas kulitnya. Itulah hati seorang menafiq.
  4. Hati yang mendatar, padanya iman dan nifaq, maka perumpamaan iman yang meliputinya seperti sebatang sayuran yang disirami oleh air tawar dan perumpamaan nifaq yang ada padanya juga seperti setumpuk kudis yang diselaputi oleh nanah dan darah busuk, ke situlah hati akan tertarik.
Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa hati yang terakhir adalah sifat bagi hati orang yang bercampur aduk amalannya dari umum kaum muslimin sehingga kecuaiannya melebihi kesempurnaan. Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi...

واعلموا أن الله لا يقبل دعاء من قلب غافل

Yang bermaksud: "Ingatlah bahawa Allah tidak akan menerima doa dari hati yang lalai"

Oleh itu... sebaik-baik hati yang lunak dan bersih adalah hati yang melengkapkan diri dengan sifat belas kasihan, cinta dan sayang terhadap kaum muslimin kerana itulah semulia-mulia akhlak dan setinggi-tinggi budi yang luhur.

Kerosakan yang dicetuskan oleh hati yang rosak amatlah besar. Hati yang tidak tenang inilah yang akhirnya membawa kepada perlakuan sumbang seperti rasuah, pecah amanah, buang bayi, pelacuran, samseng, penderaan dan berbagai lagi gejala sosial yang kian berkembang tanpa kelihatan tanda-tanda penurunan peratusannya.

Malah lebih dasyat lagi, pelaku merasa bangga dengan apa yang mereka lakukan. Inilah hati yang susah untuk diubati kerana lembaran putih sudah menjadi hitam dan tidak berusaha untuk dibersihkan. Hati yang sedemikian digambarkan sebagai hati yang keras, tidak sensitif dengan dosa walaupun ia sebenarnya melakukan dosa yang besar. Hati yang seperti ini telah tertutup dengan selaput hawa nafsu, syahwat dan berbagai lapisan lagi sehingga ia susah menerima nasihat dan teguran daripada orang lain.


"SENTIASALAH BERHATI-HATI MENJAGA HATI"



Posted by Norwati Jaafar at 00:42 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 7 June 2011

ANTARA KASIH AYAH DAN SUAMI... SIAPA YANG PATUT DIDAHULUKAN.


CINTANYA KEMBALI TERUJI...

                                                                                
Jika anda diberi pilihan antara dua...
kasih ayah dan kasih suami...
siapa pilihan utama?
Marilah kita renungkan
dan hayati kisah penuh pengajaran ini.


Ummu Habibah hidup dengan penuh kegembiraan di bawah naungan suami tercinta iaitu Nabi Muhammad.s.a.w. Kehidupan beliau sudah jauh berubah kerana beberapa disiplin dan pantang larang sebagai isteri Nabi. Hubungan Ummu Habibah dan Sofiah juga rapat di atas 'kebetulan' peristiwa yang telah direncanakan Allah. Sesungguhnya Ummu Habibah menunggu detik-detik itu dengan penuh sabar sejak diijabkabulkan dan disahkan sebagai Ummul Mukminin.

Satu lagi dugaan hidup Ummu Habibah apabila beliau selalu teringatkan ayahnya Abu Sufyan. Pertentangan suaminya seorang Rasul dan ayahnya seorang musyrik pada masa itu seperti tiada tolak ansur. Setiap kali menghadapi bencana peperangan, hatinya bagai diduga untuk melihat kemungkinan salah seorang yang amat dikasihinya gugur. Tetapi ketetapan jiwanya untuk sentiasa bersama kebenaran Islam tidak sedikit pun mencacatkan doa restu kepada suaminya.

Pada suatu pagi yang hening, penghujung Syaaban tahun ke lapan hijrah, daun pintu rumahnya diketuk kuat. Ayahnya tiba-tiba tercegat di depan pintu dalam keadaan yang amat resah. Berbeza sekali dengan penampilan Abu Sufyan yang dahulunya seorang angkuh, bongkak dan bengis. Apakah tujuan kedatangannya? Wajarkah dia membenarkan ayahnya seorang musyrik masuk tanpa kebenaran suaminya terlebih dahulu? Adakah kedatangan Abu Sufyan diketahui oleh orang ramai? Semua persoalan ini bersimpang siur di benak Ummu Habibah pada hari itu. Ummu Habibah terpaku di pintu rumahnya.

Tanpa diberi izin, Abu Sufyan terus menerpa ke dalam rumah, satu adab yang amat tidak kena dengan ajaran Islam. Islam mengajar adab bertamu izin tuan rumah mestilah diperolehi sebelum masuk ke dalam rumah walaupun bertandang ke rumah anak sendiri. Di dalam rumah yang serba sederhana itu terdapat satu hamparan yang dikhaskan untuk suaminya Nabi Muhammad s.a.w. duduk ketika berada di ruang tamu rumah Ummu Habibah. Abu Sufyan menerpa ke atas hamparan itu yang kelihatan dikhaskan kepada tetamu.

Ummu Habibah terkejut dan segera menghalang Abu Sufyan daripada duduk di atas hamparan suaminya, seorang Rasul. Hamparan itu segera dilipatnya. Tercengang Abu Sufyan menyaksikan perbuatan Ummu Habibah. Tangannya terketar-ketar menahan amarahnya.

"Wahai anakku... adakah engkau memang terlalu benci dan tidak suka kedatanganku ke mari?" Abu Sufyan bersuara sambil menahan marahnya.

"Ini adalah tempat duduk Rasulullah s.a.w. Ayah seorang musyrik dan tidak layak duduk di atas hamparan mulia ini," Ummu Habibah bersuara sambil menahan sebak.

"Engkau telah diselubungi perasaan jahat sehingga sanggup menghina ayahmu sendiri setelah bertahun kita terpisah, wahai anakku!" bentak Abu Sufyan keras. Ego seorang bapa terserlah seketika.

Abu Sufyan menggetap bibir mendengar jawapan puterinya. Namun dia tidak berdaya untuk berlaku kasar terhadap Ummu Habibah kerana kedatangannya adalah untuk meminta belas kasihan daripada Muhammad, menantu yang tidak pernah direstuinya. Kali ini dia terpaksa mengalah. Misinya adalah untuk 'masa depan' Quraisy dan Makkah. Mereka seolah-olah dirantai kaki dan tangan kini. Nasib Quraisy dan Makkah terpikul di bahu Abu Sufyan. Oleh itu dia harus mengawal dirinya daripada bertindak sembarangan.

Kedatangan Abu Sufyan bertujuan meminta perdamaian baru berikutan beberapa pemuda Quraisy telah membantu Bani Bakr menceroboh Bani Khuzaah. Beberapa orang Bani Khuzaah telah dibunuh kejam dalam kejadian tersebut. Hal ini amat bertentangan dengan persetujuan yang telah dicapai melalui perjanjian damai Hudaibiyah iaitu gencatan senjata selama sepuluh tahun dan menghormati hak-hak sekutu kedua-dua pihak. Bani Khuzaah adalah sekutu Muslimin Madinah. Tindakan pemuda-pemuda Quraisy itu ternyata membatalkan perjanjian Hudaibiyah secara langsung. Keadaan Makkah yang begitu naif tidak mungkin mahu menghadapi serangan Madinah jika ia benar-benar berlaku.

Abu Sufyan terpaksa menelan detik-detik pahit itu dan menganggap Ummu Habibah masih diselubungi 'dendam Makkah'. Abu Sufyan sebak menahan gelora jiwanya mengenang peristiwa lampau. Pukulan-pukulan ganas yang dilakukan kepada Ummu Habibah bukan dengan kerelaan dirinya sendiri. Dorongan Abul Hakam (Abu Jahal), Ummayyah bin Khalaf, Uqbah bin Abi Muayyat dan lain-lain menyebabkan dia bertindak gila di luar batasan hormat dirinya. Abu Sufyan sedar hal itu. Semua rakannya itu telah menemui jalan kuburnya yang hina, tinggallah Abu Sufyan sendirian kini. Abu Sufyan mengelakkan pandangannya daripada wajah Ummu Habibah yang lemah lembut tetapi terselindung seribu satu ketegasan jiwa.

Hakikatnya di sisi Ummu Habibah, tiada sekelumit pun 'dendam Makkah' seperti sangkaan ayahnya. Biarpun anggota tubuh badannya yang lemah itu pergi menjadi singgahan tindakan-tindakan keras ayahnya, Ummu Habibah tidak pernah berdendam sebaliknya hatinya sentiasa berdoa' agar iman memenuhi sanubari ayahnya. Doa' itu semakin tinggi dipanjatkan setelah melihat wajah ayahnya yang amat dirindui sejak bertahun meninggalkan Makkah. Wajah ibunya Hindun dan abangnya Muawiyyah serta ahli-ahli keluarga yang lain menerpa satu demi satu dalam benak Ummu Habibah.

Pengajaran kisah Ummu Habibah menjelaskan bahawa kehormatan suami wajib dipelihara oleh isteri walaupun semasa ada bersama atau pun tidak. Tanggungjawab wanita apabila sebelum berkahwin adalah di bawah ibubapa... manakala apabila sudah mendirikan rumahtangga tanggungjawab itu telah diambil alih oleh suami. Oleh itu, maruah suami wajib dipelihara di mana jua wanita itu berada.




  
Posted by Norwati Jaafar at 07:13 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Monday, 6 June 2011

PHD...?

Assalamualaikum...

Setahu saya gelaran PHD adalah untuk golongan ilmuan yang dianugerahkan status paling tinggi dalam proses pembelajaran sehingga diberi gelaran "Doktor" dan dipanggil dengan panggilan "Profesor Dr....."

Penatnya nak dapatkan PHD, bersengkang mata, berkorban masa, wang ringgit dan sebagainya. Memang wajarlah apabila sudah lulus dianugerahkan pangkat dan kedudukan yang setara dengan hasil usaha mereka. Soal pulangan yang akan dikecapi mestilah berbaloi dengan usaha selama ini.

Tetapi dalam masyarakat kita pada hari ini, khasnya orang-orang Melayu Islam, tak susah pun nak dapatkan gelaran PHD. Mungkin ada yang sudah sedia maklum bahawa PHD dalam masyarakat bukanlah anugerah malah virus yang boleh menular dan memecahbelahkan keharmonian negara... amat bahaya.

Perasaan Hasad Dengki... di mana-mana pun ada. Kurang senang tengok orang lain senang. Nak buat macam mana kan... syaitan bertanduk dah jilat tubuh mereka. Sebab itulah hati dan perasaan mereka dah beku dan tak pernah sedar akan ajakan dan pujukan halus para iblis.

Pantang tengok orang lain lebih, mesti dilawannya. Orang beli kereta baru, dia tukar juga. Orang tukar perabot baru, apa lagi terus ke kedai oder yang baru juga. Lagi pula kalau tengok orang dah pasang badan dan ubah penampilan, terus dia ke salun dan spa berdandan juga. Inilah hebatnya penangan "Perasaan Hasad Dengki", boleh pecah belah masyarakat, suami isteri berperang, jiran tetangga bermasam muka dan sebagainya. Oleh itu, insaflah dan buanglah perasaan sedemikian jika pernah singgah di hati kita.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

اياكم والحسد فإن الحسد يأكل الحسنات كماتأكل النار الحطب 

Maksudnya: "Awas diri kamu dari sifat dengki kerana sesungguhnya dengki itu memakan kebajikan sebagaimana api membakar kayu api".

Erti hasad dengki ialah apabila seseorang itu merasa sempit dan serba salah di dada dan dihatinya, sambil kurang senang terhadap nikmat yang dikurnikan Allah kepada salah seorang hambaNya, sama ada di dalam urusan agama mahupun urusan dunia. Sebaliknya ia mengharap-harapkan agar nikmat itu terhapus dari orang itu, dan kalau boleh biarlah dia sahaja yang mendapat nikmat itu, meskipun hal itu mustahil akan berlaku. Itulah kemuncaknya keburukan hasad dan dengki. Jika seseorang menyedari di dalam dirinya ada sesuatu dari sifat hasad terhadap seseorang dari kaum muslimin, maka hendaklah ia membenci serta menyembunyikannya di dalam hatinya. Jangan sampai ia mezahirkannya kepada orang lain, sama ada dengan ucapan mahupun dengan kelakuan. Semoga ia akan terselamat dari bencana sifat hasad itu.

Peringatan oleh Rasulullah s.a.w. kepada sekalian kaum muslimin mengenai sifat hasad dan dengki jelas melalui sabda baginda yang berbunyi:

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai diri sendiri".

Setiap muslim sepatutnya bertanggungjawab terhadap muslim yang lain dan mengakui akan hak-hak mereka. Tidak wajar mempunyai sifat hasad dan dengki dalam diri mereka. Di antara hal-hak yang dituntut oleh seorang muslim terhadap muslim yang lain ialah:
  1. Menutup keaibannya.
  2. Meringankan kesusahannya.
  3. Membantunya dalam segala perkara penting dan perlu.
  4. Memenuhi segala hajat dan keperluannya.
  5. Menghapuskan duka nestapanya.
  6. Membelanya jika teraniaya.
  7. Menolongnya jika lemah.
  8. Menghormati yang tua.
  9. Meringankan bebanan hidupnya.
  10. Berbelas kasihan terhadap yang kecil.
  11. Jangan memandang rendah terhadapnya.
  12. Tidak mencaci atau mengejek-ngejek mereka.
  13. Tidak menipu mereka.
  14. Jangan memfitnah mereka.
  15. Sentiasa mendoakan mereka.
  16. Sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk mereka.



BERBAIK SANGKALAH SESAMA RAKAN
KERANA PERASAAN HASAD DENGKI
ADALAH HASUTAN DARIPADA SYAITAN...
SEMOGA... SEDIKIT RENUNGAN
DARIPADA SENARIO HARI INI AKAN
MENGINSAFKAN KITA DAN AKAN
MENINGKATKAN KEIMANAN KITA,
INSYAALLAH...


Posted by Norwati Jaafar at 04:11 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Home
Subscribe to: Comments (Atom)

Mari Kita Mengeratkan Ukhuwah

Facebook Saya

Norwati Jaafar

Reka Lencana Anda

AL-A'AMALU BINNIAT...

AL-A'AMALU BINNIAT...
BACALAH BASMALAH.

ALLAH SUKA KEPADA KECANTIKAN...

ALLAH SUKA KEPADA KECANTIKAN...
KECANTIKAN HAKIKI ADALAH YANG SEBAIK-BAIKNYA DI SISI ALLAH.

"SENTIASALAH BERHATI-HATI MENJAGA HATI"

"SENTIASALAH BERHATI-HATI MENJAGA HATI"
Hati yang bersih, firasatnya tepat kehendak Allah

HATI YANG SUCI UMPAMA BAYI YANG BARU DILAHIRKAN... TERPULANG KEPADA IBUBAPA MENCORAKKANNYA.

HATI YANG SUCI UMPAMA BAYI YANG BARU DILAHIRKAN... TERPULANG KEPADA IBUBAPA MENCORAKKANNYA.

Nukilan rasa:

My photo
Norwati Jaafar
Mendidik jiwa setiap masa dan ketika.
View my complete profile

SELAMAT DATANG!

Sahabat bersama saya:

Renungan kita...

  • ▼  2011 (3)
    • ▼  June (3)
      • PHD...?
      • ANTARA KASIH AYAH DAN SUAMI... SIAPA YANG PATUT DI...
      • BERSIHKAN JIWA... SUCIKAN HATI...

SENTIASALAH MELIHAT KEBESARAN ALLAH DAN MENSYUKURI SEGALA NIKMATNYA...

SENTIASALAH MELIHAT KEBESARAN ALLAH DAN MENSYUKURI SEGALA NIKMATNYA...
Memandang kebesaran Allah adalah terapi rohani yang paling baik. Jika kita rasakan diri kita sempurna... ketahuilah Allah itu Maha Sempurna lagi Maha Melengkapi. Terasa kerdilnya kita disisi yang Maha Esa. Bersyukurlah kita atas nikmatNya yang tidak terhingga.

IBU JADI KAUNSELOR KEPADA ANAK-ANAK.

IBU JADI KAUNSELOR KEPADA ANAK-ANAK.
Teknik agar ibu rapat dengan anak-anak. 1) Ikuti perkembangan anak-anak secara dekat dan perlu tahu karektor anak dari yang sulung hingga yang bongsu. Kenali anak secara psikologi sedari awal supaya anak-anak mudah dikendali di kemudian hari. 2) Ikuti minat anak-anak dari yang sekecil perkara hinggalah yang sebesar perkara. 3) Pantau pilihan rakan-rakan anak kita kerana mereka mudah mempengaruhi rakan sebaya. 4) Ambil tahu aktiviti sosial dan keterampilan diri anak-anak. 5) Pantau masa senggang anak-anak. 6) Pantau bahan bacaan anak-anak sama ada berunsur positif atau negatif. 7) Ibu perlu meletakkan diri sebagai guru dan rakan agar anak-anak mudah mencurahkan perasaan mereka secara rela. 8) Ibu perlu menjadi pendengar yang baik bagi setiap masalah anak-anak apabila diberitahu.

AJAR DENGAN SIKAP BUKAN DENGAN CAKAP...

AJAR DENGAN SIKAP BUKAN DENGAN CAKAP...
Usaha mengajar anak-anak dengan bercakap adalah sangat susah. Anak-anak sering gagal mengikut cakap tetapi mereka jarang gagal meniru sikap. Cara paling mudah untuk mengajar anak-anak ialah dengan mendedahkan mereka kepada praktikalnya, khususnya oleh ibu bapa sendiri.
TERIMA KASIH KERANA TELAH MENGUNJUNGI BLOG SAYA. SILA DATANG LAGI.






Valentine's Day Pumping Heart
Copyright© All Rights Reserved ustazahnorwati.blogspot.com