Setahu saya gelaran PHD adalah untuk golongan ilmuan yang dianugerahkan status paling tinggi dalam proses pembelajaran sehingga diberi gelaran "Doktor" dan dipanggil dengan panggilan "Profesor Dr....."
Penatnya nak dapatkan PHD, bersengkang mata, berkorban masa, wang ringgit dan sebagainya. Memang wajarlah apabila sudah lulus dianugerahkan pangkat dan kedudukan yang setara dengan hasil usaha mereka. Soal pulangan yang akan dikecapi mestilah berbaloi dengan usaha selama ini.
Tetapi dalam masyarakat kita pada hari ini, khasnya orang-orang Melayu Islam, tak susah pun nak dapatkan gelaran PHD. Mungkin ada yang sudah sedia maklum bahawa PHD dalam masyarakat bukanlah anugerah malah virus yang boleh menular dan memecahbelahkan keharmonian negara... amat bahaya.
Perasaan Hasad Dengki... di mana-mana pun ada. Kurang senang tengok orang lain senang. Nak buat macam mana kan... syaitan bertanduk dah jilat tubuh mereka. Sebab itulah hati dan perasaan mereka dah beku dan tak pernah sedar akan ajakan dan pujukan halus para iblis.
Pantang tengok orang lain lebih, mesti dilawannya. Orang beli kereta baru, dia tukar juga. Orang tukar perabot baru, apa lagi terus ke kedai oder yang baru juga. Lagi pula kalau tengok orang dah pasang badan dan ubah penampilan, terus dia ke salun dan spa berdandan juga. Inilah hebatnya penangan "Perasaan Hasad Dengki", boleh pecah belah masyarakat, suami isteri berperang, jiran tetangga bermasam muka dan sebagainya. Oleh itu, insaflah dan buanglah perasaan sedemikian jika pernah singgah di hati kita.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
اياكم والحسد فإن الحسد يأكل الحسنات كماتأكل النار الحطب
Maksudnya: "Awas diri kamu dari sifat dengki kerana sesungguhnya dengki itu memakan kebajikan sebagaimana api membakar kayu api".
Erti hasad dengki ialah apabila seseorang itu merasa sempit dan serba salah di dada dan dihatinya, sambil kurang senang terhadap nikmat yang dikurnikan Allah kepada salah seorang hambaNya, sama ada di dalam urusan agama mahupun urusan dunia. Sebaliknya ia mengharap-harapkan agar nikmat itu terhapus dari orang itu, dan kalau boleh biarlah dia sahaja yang mendapat nikmat itu, meskipun hal itu mustahil akan berlaku. Itulah kemuncaknya keburukan hasad dan dengki. Jika seseorang menyedari di dalam dirinya ada sesuatu dari sifat hasad terhadap seseorang dari kaum muslimin, maka hendaklah ia membenci serta menyembunyikannya di dalam hatinya. Jangan sampai ia mezahirkannya kepada orang lain, sama ada dengan ucapan mahupun dengan kelakuan. Semoga ia akan terselamat dari bencana sifat hasad itu.
Peringatan oleh Rasulullah s.a.w. kepada sekalian kaum muslimin mengenai sifat hasad dan dengki jelas melalui sabda baginda yang berbunyi:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai diri sendiri".
Setiap muslim sepatutnya bertanggungjawab terhadap muslim yang lain dan mengakui akan hak-hak mereka. Tidak wajar mempunyai sifat hasad dan dengki dalam diri mereka. Di antara hal-hak yang dituntut oleh seorang muslim terhadap muslim yang lain ialah:
- Menutup keaibannya.
- Meringankan kesusahannya.
- Membantunya dalam segala perkara penting dan perlu.
- Memenuhi segala hajat dan keperluannya.
- Menghapuskan duka nestapanya.
- Membelanya jika teraniaya.
- Menolongnya jika lemah.
- Menghormati yang tua.
- Meringankan bebanan hidupnya.
- Berbelas kasihan terhadap yang kecil.
- Jangan memandang rendah terhadapnya.
- Tidak mencaci atau mengejek-ngejek mereka.
- Tidak menipu mereka.
- Jangan memfitnah mereka.
- Sentiasa mendoakan mereka.
- Sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk mereka.
BERBAIK SANGKALAH SESAMA RAKAN
KERANA PERASAAN HASAD DENGKI
ADALAH HASUTAN DARIPADA SYAITAN...
SEMOGA... SEDIKIT RENUNGAN
DARIPADA SENARIO HARI INI AKAN
MENGINSAFKAN KITA DAN AKAN
MENINGKATKAN KEIMANAN KITA,
INSYAALLAH...

No comments:
Post a Comment